Mayat Dipercayai Mangsa Bot Karam Ditemukan Berhampiran Pulau Mataking

118
Keadaan mayat lelaki yang terapung di perairan Pulau Mataking, tengah hari tadi.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Satu lagi mayat dipercayai mangsa kejadian bot karam kelmarin ditemukan terapung berhampiran perairan Pulau Mataking tengah hari tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Assistan Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat itu ditemukan pukul 12.10 tengah hari oleh seorang anggotanya yang bertugas di pos kawalan di pulau berkenaan.

MOHAMAD PAJERI

“Ketika ditemukan, mayat yang tidak berbaju dan berseluar pendek warna merah itu tidak dapat dikenal pasti memandangkan keadaannya yang sudah kembung.

“Hasil siasatan awal, kami tidak menerima sebarang laporan berhubung bot karam di pulau berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya mengesyaki mayat tersebut adalah antara tujuh individu yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Merabung, kelmarin.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kelmarin, pihak berkuasa di daerah ini menerima satu laporan bot karam dikatakan berlaku di antara Pulau Sibutu dan Bongou, Filipina.

Seorang mangsa lelaki ditemui selamat oleh nelayan manakala mayat seorang wanita ditemukan di perairan Tanduo semalam.

Polis difahamkan, terdapat individu yang masih hilang termasuk dua kanak-kanak dalam insiden tersebut.

BERITA BERKAITAN :-

Bot Karam: Seorang Selamat, Tujuh Masih Hilang

Nelayan Akui Panik Ketika Terjumpa Mangsa Bot Karam Terapung