Maya Hejnowska, Unduk Ngadau 2021

PENAMPANG: Gadis campuran Kadazan-Polish, Maya Hejnowska,20, mewakili Api-Api dimahkotakan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA yang diadakan secara online hari ini.

Maya diumumkan sebagai UNK 2021 dan membawa pulang wang tunai bernilai RM15,000.

Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Dianarin Vahidin mewakili Paginatan dan tempat ketiga milik Febby Angelica Richard mewakili Kundasang.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan RM10,000.

Dengan itu, Maya mengambil-alih takhta Unduk Ngadau Kaamatan daripada pemenang UNK 2019, Francisca Ester Nain.

UNK 2021 yang bercita-cita menjadi pensyarah muzik ini kini menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik.

Anak kedua daripada tiga beradik ini menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah muzik. Dia turut memenangi gelaran Tati Tosuau (Friendly) semasa Sodop Pintutunan atau Malam Gala UNK yang diadakan pada 28 Mei lepas.

Maya turut dipilih sebagai Miss Charming menerusi undian dalam laman web.

Untuk pemenang tempat keempat hingga ketujuh pula dimenangi oleh Lisa Christie Deminic (Tulid), Avril Elvira Roger Anthony (Tanjung Keramat), Sharon Stephen (Kawang), Carrey Evanne Kim Lee (Penampang).

Pemenang tempat keempat hingga ketujuh masing-masing menerima wang tunai RM5,000, RM4,000, RM3,000 dan RM2,000.

Setiap pemenang menerima wang tunai, trofi, selendang, sarung batik, hamper dan biasiswa daripada North Borneo University College.

Sebanyak 11 gelaran sampingan turut diumumkan dan setiap pemenang menerima wang tunai RM1,000, selendang dan sejambak bunga.

UNK tanpa sempadan tahun ini disertai oleh 79 orang peserta mewakili setiap DUN di Sabah dan empat negeri di Semenanjung Malaysia.