Maximus Perlu Salahkan Diri Sendiri Bukan Tuduh Warisan

283
LORETTO PADUA

Oleh AZIS KHAN

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili perlu menyalahkan diri sendiri berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memilih untuk bersama Parti Warisan Sabah (Warisan).

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Junior berkata, parti itu tidak pernah berniat untuk mengambil mana-mana wakil rakyat daripada parti lain, sebaliknya mereka sendiri yang datang dan menyatakan hasrat untuk menyertai Warisan.

Sehubungan itu katanya, Maximus perlu muhasabah diri terhadap kegagalan beliau memberi keyakinan wakil rakyatnya untuk kekal bersama PBS dan meneruskan sisa-sisa perjuangan mereka.

“Sebagai ketua parti, beliau perlu muhasabah diri dan bertanya apa kesilapan yang berlaku, adakah beliau pemimpin yang bagus?

“Kalau pemimpin bagus maka ahli dan wakil rakyatnya akan kekal, mendengar cakap dan meneruskan perjuangan tentang apa sahaja motivasi politik mereka yang tinggal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang mengumumkan untuk menyertai Warisan selepas mengakui sukar berkhidmat untuk rakyat jika masih berada di dalam PBS.

Berikutan itu, Maximus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha Warisan memancing wakil rakyat PBS kerana takut dengan kekuatan PBS.

Loretto berkata, Warisan tidak pernah sesekali memikirkan untuk berbuat demikian memandangkan parti itu mempunyai matlamat untuk melahirkan generasi baharu pemimpin negeri untuk mentadbir Sabah.

Katanya, bagi pemimpin yang berhasrat menyertai Warisan pula, mereka perlu menjalani tapisan terlebih dahulu terutama membuktikan bahawa niat tersebut adalah demi rakyat bukannya atas kepentingan peribadi.

“Abdul Rahman datang kepada kami semasa pilihan raya kecil Sandakan, namun ketika itu kami belum menyatakan persetujuan, justeru untuk Maximus menuduh kami memancing wakil rakyatnya adalah satu pembohongan.

“Kalau betul kami memancing beliau, kami boleh mengumumkannya semasa pilihan raya kecil itu tetapi tidak dilakukan,” tegas beliau.

Tambahnya, sebagai Setiausaha Agung Warisan, sudah menjadi tugasnya untuk menapis sesiapa sahaja pemimpin yang mahu menyertai parti.

“Mungkin Maximus tidak peduli sangat pun kepada wakil rakyatnya, kalau peduli kenapa dia tidak tahu Abdul Rahman sanggup berjumpa presiden kami, bukankah itu menandakan kepemimpinan yang lemah?,” kata Loretto.

BERITA BERKAITAN: –