Masyarakat Perlu Ubah Persepi Tentang TVET-Yusof Yacob

69
Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Prithipal Singh (dua kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Bahagian Pendidikan Teknik & Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Zanariah Ahmad (empat kanan), sambil disaksikan oleh Yusof.

KOTA KINABALU: Persepsi mengenai bidang Teknik dan Vokasional (TVET) hanya untuk pelajar kelas tiga perlu diubah berikutan keperluan semasa industri yang mahukan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa ini TVET bukan lagi bidang yang berkualiti rendah kerana perkembangan industri lebih memerlukan sumber tenaga berkemahiran yang dilahirkan melalui TVET.

”Atas sebab itu, institusi pendidikan dan ibu bapa perlu memberi kefahaman secara mendalam kepada anak-anak muda bahawa TVET adalah bidang yang mampu menjamin kerjaya mereka pada masa hadapan. TVET bukan berkualiti rendah.

”Institusi pendidikan dan Ibu bapa juga harus peka dengan perkembangan dan keperluan industri yang kini menjurus kepada bidang kemahiran.

”Kita tidak mahu melahirkan graduan yang mengambil kursus pengajian yang tidak relevan dengan industri kerana akhirnya mereka tidak akan memprolehi pekerjaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia (BPLTV) dengan Sabah Shell Petroleum Co. Ltd, di sini pada Jumaat.

MoU itu membabitkan Program Latihan Industri Kimpalan bagi melatih 12 orang pelajar Kolej Vokasional Likas.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan institusi pendidikan supaya menjalin kerjasama dengan industri agar graduan yang dilahirkan adalah mereka yang berkemahiran dan benar-benar diperlukan oleh industri.

Yusof berkata, sehingga kini, terdapat 37,000 graduan yang menganggur direkodkan di Sabah. Manakala, jumlah keseluruhan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan di Sabah pula adalah sebanyak 125,000.

Katanya setiap tahun terdapat 50,000 hingga 60,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilahirkan maka, kerajaan mahu pelajar-pelajar ini dilatih mengikut acuan keperluan industri sebaik tamat persekolahan.

Oleh itu, institusi pendidikan perlu menjalin kerjasama dengan penggiat industri agar kursus-kursus yang ditawarkan relevan dan bertepatan dengan kehendak pasaran.

Di Sabah terdapat dua institusi pengajian tinggi awam dan 27 institusi pengajian tinggi swasta. Jika semua institusi ini menjalin kerjasama dengan industri, isu pengganguran dalam kalangan graduan mampu diselesaikan secara berkesan.

Menurutnya, mungkin ada kekangan tertentu bagi insitusi pendidikan mengadakan kerjasama dengan penggiat industri namun, pelajar perlu lebih kompetitif dan tidak boleh berada ditakuk lama jika ingin melibatkan diri dalam perkembangan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0).

”Mungkin hasil tidak dapat dilihat secepatnya untuk melatih pelajar dalam bidang kemahiran. Namun, kita akan mempunyai kumpulan tenaga manusia yang matang dan berkemahiran selepas mereka menamatkan pengajian,” ujarnya.

Yusof berkata, sektor minyak dan gas akan terus memerlukan tenaga kerja berkemahiran berikutan banyak negara yang masih meneroka telaga minyak dan gas baharu serta pertumbuhan industri hiliran dalam bidang berkenaan.