Masyarakat Perlu Jadi Mata, Telinga Kerajaan Bantu Banteras Penyalahgunaan Dadah

KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini diminta untuk terus menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membendung isu penyalahgunaan dadah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, rakyat perlu bersama kerajaan dalam memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dapat dilakukan.

“Ia memberi makna yang cukup besar sekiranya peranan dan tanggungjawab ini dipikul secara bersama dalam memastikan komuniti setempat selamat dan bebas daripada masalah dadah.

“Masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata.

“Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yang berupaya menghindarkan diri dari terjebak dengan masalah dadah, sosial, dan jenayah,” katanya semasa sambutan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2021 Peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Yang DiPertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri Sabah, Jonathan Yasin.

Shahelmey, yang juga Pengerusi Pemadam Negeri Sabah turut mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus berkerjasama dengan kerajaan dalam menangani masalah ini.

Katanya, AADK negeri Sabah memerlukan kerjasama antara jabatan, agensi serta NGO supaya sasaran sifar penyalahgunaan dadah dalam masyrakat dapat dicapai.

“Usaha menangani penyalahgunaan dadah ini tidak boleh dilakukan secara berasingan sebaliknya, perlu dilakukan secara bersama kerana ia bukan saja membabitkan soal dadah, tetapi juga masalah sosial lain.

“Sekali lagi saya menegaskan dadah masih musuh nombor satu negara, maka saya menyeru kepada semua agar memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya bagi memerangi dadah habis-habisan” katanya.

Sambutan HADK yang bertemakan “Lebih Baik Cegah” itu dilakukan secara maya melalui aplikasi Google Meet dan Facebook Live AADK Sabah di Pajabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  negeri Sabah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah AADK negeri Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim.