Masyarakat KDM Perlu Bijak Memilih Parti

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) perlu membuat keputusan bijak sama ada ingin memilih parti tempatan kroni Musa Aman, parti ‘katakrasi’ ataupun Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memperjuangkan hak Sabah.

Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, kerajaan baharu ini telah berjaya menyingkirkan kerajaan kleptokrasi, justeru masyarakat KDM harus bergerak ke hadapan demi memastikan masa depan Sabah lebih cerah.

“Kita sudah singkirkan Najib sebelum ini, kita sudah singkirkan kleptokrasi, sekarang kita mesti bergerak ke arah masa depan yang lebih jelas untuk semua.

“Sekarang tidak ada lagi korupsi, kita sudah singkirkan mereka tetapi mereka tetap teruskan untuk membeli masyarakat dan sebenarnya mereka mulakan taktik ini di Sabah, mereka membeli 14 wakil rakyat.

“Bagi saya, kerajaan seperti itu hanya menunjukkan mereka hanya mahu gunakan duit semata-mata untuk mendapatkan kuasa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Adat Tahun 2020 di Dewan Nagasiba, semalam.

Mengulas lanjut, Jannie berkata,  masyarakat KDM harus memilih kerajaan yang terbaik dan stabil iaitu kerajaan yang memperjuangkan suara rakyat Sabah.

Tambahnya, sebelum ini masyarakat KDM telah menyaksikan sendiri kegagalan kepimpinan Tan Sri Joseph Kitingan dan Datuk Jeffrey Kitingan, justeru masyarakat KDM harus memilih pemimpin yang baharu.

“Masyarakat KDM telah melihat kekuatan Pairin sebelum ini dan bagaimana beliau tidak lagi mempunyai kekuatan sebagai seorang pemimpin.

“Kita juga tidak lihat kekuatan itu pada Jeffrey, malah kita tidak lihat semua nilai kekuatan itu pada mana-mana pemimpin sebelum ini, sebab itu kita membentuk pemimpin KDM seperti Darell Leiking,”katanya.

Sementara itu, Jannie berkata, beliau mempunyai keyakinan  terhadap penduduk KDM di sekitar kawasan Kapayan, Penampang dan Moyog kerana mereka mempunyai gambaran politik yang jelas.