Masjid Musnah Terbakar Di Semporna

SEMPORNA : Sebuah masjid musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Larapan Hujung, di sini, awal pagi tadi.

Dalam insiden itu, sebuah masjid berkeluasan 185 meter persegi terbakar hampir 90 peratus. Namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Faisal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 5.06 pagi.

Katanya sepasukan 5 pegawai dan anggota dari BBP Air Semporna dikejarkan ke lokasi yang terletak 7 kilometer dari balai, menggunakan bot.

“Pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan 1 aliran 200 kaki, 2 pancutan air dari sumber terbuka (laut).

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran dapat dikawal jam 5.50 pagi manakala operasi ditamatkan 6.04 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta jumlah kerugian masih dijalankan.