KOTA KINABALU: Sebanyak 1,050 masjid di seluruh negeri mula mengadakan solat Jumaat hari ini dengan jumlah jemaah dihadkan kepada ahli jawatankuasa masjid sahaja.
Tinjauan Borneo Today di Masjid Negeri mendapati, semua jemaah yang hadir wajib menggunakan pelitup muka serta melalui pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan terjamin.
Selain itu, kedudukan setiap jemaah dan imam turut dijarakkan dengan setiap sejadah diletakkan pada kedudukan setiap satu meter.
Di samping itu, maklumat peribadi setiap jemaah seperti nama dan nombor telefon turut direkodkan.
“Hari ini hanya 12 jemaah yang menyertai solat Jumaat, dengan susunan sejadah yang berjarak,” katanya yang menyampaikan khutbah bertajuk ‘Kesinambungan Ramadan dalam kehidupan’.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islamnya, Datuk Saifulzaman Sangul berkata, solat Jumaat itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Kita berdoa semoga kita dilepaskan daripada ujian (COVID-19) besar ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Negeri, di sini hari ini.
Selasa lepas, Majlis Fatwa Negeri Sabah membenarkan aktiviti solat berjemaah termasuk solat Jumaat dan tarawih di masjid yang terpilih, selepas dihentikan sementara sejak 18 Mac lalu berikutan arahan PKP kerajaan.