Masjid Al-Kauthar Sumbang Barangan Dapur Kepada Petugas APM

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pengurusan Masjid Al-Kauthar mengambil inisiatif menyumbangkan barangan keperluan dapur bernilai RM2,500 kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini, hari ini.

Pengerusi masjid, Khalid Mohd Tahir berkata, sumbangan itu diberikan dalam usaha meringankan beban petugas barisan hadapan yang kini berjuang menangani penularan wabak Covid-19.

“Sebagai manusia, dalam keadaan sekarang (Perintah Kawalan Pergerakan, MCO), kita kena berkorban tenaga, masa dan harta.

“Justeru, kami berbesar hati menyumbang kepada petugas barisan hadapan menerusi wang tabung masjid sumbangan jemaah sebelum ini,” katanya kepada media.

Turut hadir Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) Tawau, Kahar Sundu.

Tambah Khalid, sumbangan seperti beras, garam dan mi kering itu turut diberikan kepada keluarga mangsa Covid-19 yang sukar mendapatkan bekalan makanan selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Terdahulu, Kahar dalam kenyataannya mengucapkan penghargaan kepada pengurusan Masjid Al-Kauthar atas komitmen misi membantu golongan yang terjejas ketika ini.

“Ia selaras dengan saranan Pengarah JHEINS Sabah Datuk Saifulzaman Sanggul yang meminta semua masjid berkemampuan di negeri ini tampil menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Sumbangan kepada petugas barisan hadapan seperti APM ini juga adalah satu keperluan memandangkan mereka perlu bertugas sepanjang pelaksanaan MCO,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pasukan APM Tawau, Leftenan Muda Masrina Messa berkata selain 50 pegawai dan anggota APM Tawau, pihaknya turut bertanggungjawab menyediakan bekalan makan dan minum bagi suspek Covid-19 yang sedang dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.