Masiung: Saya Masih Warisan, Saya Akan Pertahankan Ketua Saya

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menegaskan beliau masih bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas timbul persoalan mengenai kiblat politiknya.

Menurut Masiung, beliau akan terus mempertahankan Presiden Warisan, Datuk  Seri Mohd. Shafie Apdal ketika khabar angin bertiup kencang mengenai usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membeli wakil rakyat Sabah bagi mendapatkan sokongan.

“Kita masih bersama-sama Warisan, sebab kita sebenarnya masing-masing ada prinsip, prinsip kita ialah kita akan mempertahankan ketua kita sehingga dia tidak bermaya.

“Itu prinsip kita dan perkara ini juga kita buat  sama ketua menteri sebelum ini, orang UPKO terakhir meninggalkan  Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri adalah saya, kerana prinsip kita, kita akan pertahankan ketua kita sehingga dia tidak bermaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang ini.

Masiung membuat laporan tersebut selepas kehadiran beberapa kenderaan dan individu dalam keadaan mencurigakan di kediamannya Isnin lalu.

Berikutan kejadian itu yang tular di Facebook, beberapa pihak mula mempersoalkan pendirian politik Masiung selepas beliau sendiri gagal dihubungi.

Ditanya jika kehadiran individu berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, Masiung enggan mengulas dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Beliau turut mengakui tidak mengenali semua individu yang datang ke rumahnya.

“Tidak kenal, saya tidak berapa pasti siapa sebenarnya datang sama ada tapi yang pastinya dia bukan kenalan kitalah, bukan kawan kita, saya tidak pasti dia polis atau orang awam dan sesiapa.

“Saya rasa biarlah polis buat siasatan sebab saya pun sudah lebih kurang dua jam memberi kenyataan, lepas ini polis akan siasat, kita tidak boleh membuat andaian nanti tidak baik kepada orang lain,” katanya.