Masiung: Cadangan Bina Balai Bomba Sudah Lama Dikemukakan

Sebanyak 56 keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka terbakar di Kampung Batung, Penangah semalam.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sudah lama wakil rakyat sampaikan pandangan supaya setiap daerah ada satu balai bomba tetapi belum dilaksanakan.

Demikian diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah tentang keperluan pasukan penyelamat itu ditempatkan di daerah Tongod.

Menurut Masiung, kerajaan bagaimanapun mengalami kekangan menyebabkan keperluan tersebut masih belum dapat dibina di situ.

MASIUNG BANAH

“Kita sudah lama bagi pandangan kepada kerajaan kalau boleh satu daerah satu balai bomba tetapi kita faham juga kekangan kerajaan kadang-kadang dia kena tengok lokasi sebagai contoh dia buat di Kinabatangan lepas itu dia meliputi Tongod dan sebagainya.

“Jadi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 selepas ini kita rayu lagi kepada kerajaan supaya satu daerah satu bomba,” katanya.

Masiung berkata demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di Kampung Batung, Penangah pagi ini.

Dalam kejadian semalam, seorang warga emas terkorban selepas melecur 90 peratus di seluruh badannya dalam kebakaran yang memusnahkan 32 kediaman dan menyebabkan 56 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kebakaran yang bermula pada pukul 5.35 petang itu berlarutan sehingga pukul 9.50 malam sebelum dapat dikawal oleh anggota bomba yang datang dari Sandakan iaitu hampir 200 kilometer dari daerah Penangah dan memakan masa perjalanan kira-kira tiga jam.

Dua lagi balai bomba yang berdekatan dengan daerah Penangah ialah di Beluran, pada jarak lebih 100 kilometer dan Kinabatangan yang terletak 170 kilometer dari Penangah.

Kesan kebakaran mungkin boleh dikurangkan jika kerajaan perkhidmatan pasukan penyelamat lebih efisien.

Awal tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan membina enam balai bomba baharu di Sabah iaitu di Tuaran, Nabawan, Merotai, Lahad Datu, Beaufort dan Semporna.

Sementara itu, Masiung berkata, sebagai langkah berdepan bencana, aktiviti kesukarelawan dengan kerjasama pasukan bomba telah dibuat di Penangah untuk melatih belia di situ berdepan situasi genting.

“Tahun lalu saya sudah cadangkan program belia diserapkan dengan aktiviti kesukarelawan untuk berdepan bencana seperti banjir dan kebakaran sebab kita mahu belia ini ditanam dengan semangat sukarelawan,” kata beliau.

BERITA BERKAITAN: –

ADUN Kuamut Lawat Mangsa Kebakaran, Serah Bantuan Barangan Asas