Masiung Buat Laporan Polis, Individu Tidak Dikenali Datang Ke Rumahnya

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Selepas lebih 24 jam menghilangkan diri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah tampil di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Beliau membuat laporan polis dan memberikan keterangan selama dua jam selepas mendakwa keselamatannya terancam berikutan kemunculan beberapa kenderaan dan individu tidak dikenali di rumahnya Isnin lalu.

“Pada 22 haribulan pukul 2 petang ketika itu saya berada di luar rumah sedang membeli beberapa barangan untuk persiapan saya masuk ke kawasan kerana sepatutnya pada malam 22 haribulan itu, saya akan bergerak ke kawasan untuk melawat beberapa tempat bersama pejabat daerah Tongod dengan pegawai daerah dan sebagainya.

“Tetapi pada pukul 2 petang, saya telah  mendapat maklumat daripada isteri yang ketika itu berada di rumah melalui pembantu khas saya menyatakan bahawa ada beberapa buah kereta datang ke rumah dengan bilangan yang agak banyak, lebih kurang tujuh hingga lapan buah kereta dan mereka datang dengan mencurigakan.

“Kereta itu juga tidak dikenali, dan ada seorang yang turunlah melalui CCTV bertanyakan kepada orang gaji saya bertanyakan saya di mana dan juga isteri saya,” katanya.

Masiung berkata, lelaki tersebut kemudiannya mengeluarkan kata-kata kesat selepas pembantu rumahnya menegaskan beliau tidak ada di rumah.

Katanya, berikutan kejadian itu, beliau membuat keputusan untuk tidak pulang ke rumah dan tinggal di rumah kawannya bersama keluarganya.

“Bila dia tanya, orang gaji saya jawab dia jalan, yb jalan, dia tanya berapa lama sudah, orang gaji saya kata dua jam lebih, maka dia tanya, isteri saya di mana, orang gaji pun kata isteri saya pun jalan bersama-sama.

“Ada satu  yang tidak mengembirakan, yang bertanya itu berkata, kau jangan bohong kerana saya tahu datuk Masiung ada di dalam rumah.

“Maka apabila isteri saya dapat maklumat begitu, dia pun amat risau dan berasa takut, pada masa itu, dia naik ke atas semula dan dia tengok CCTV dan memang betul ada beberapa gambar yang dia skrinkan kepada saya, ada beberapa buah kereta yang dikenal pasti dalam CCTV dan atas perbincangan kami bersama, saya telah mengambil keputusan untuk membatalkan program saya untuk masuk kawasan.

“Juga pada malam itu saya telah mengambil keputusan atas beberapa nasihat daripada beberapa rakan-rakan untuk tidak balik ke  rumah pada malam itu, dalam erti kata yang lain, saya bermalam di tempat kawanlah,” katanya.

Semalam, ramai pihak terutama pemimpin politik tertanya-tanya kedudukan Masiung selepas didakwa rumahnya diserbu oleh beberapa anggota polis.

Perkara tersebut tular selepas dikongsikan di laman Facebook milik Dtk H Kalakau yang mempersoalkan kehadiran pasukan polis di kediaman Masiung.

Dtk H Kalakau turut menggesa ahli keluarga Masiung datang ke rumahnya segera untuk menghulurkan bantuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass ketika dihubungi semalam bagaimanapun menafikan polis menyerbu rumah Masiung, sebaliknya berkata kehadiran anggotanya di situ adalah selepas menerima panggilan daripada Masiung.