Masih Ramai Belum Buat Keputusan Terima Vaksin Di Labuan

LABUAN: Hanya 47.6 peratus daripada 103,000 penduduk Labuan telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat ini, menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata jumlah itu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah mencapai 99.4 peratus pada 1 Mei.

“Strategi sedang disusun bagi menarik mereka yang belum membuat keputusan untuk mengambil vaksin.

“Dalam memerangi COVID-19, kira-kira 80 peratus penduduk Labuan perlu memainkan peranan mereka dalam beberapa bulan akan datang untuk mencapai imuniti kelompok dan menghentikan penularan virus,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Rithuan sejak pelancaran Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 19 April, seramai 6,466 warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan yang terdedah dengan masalah morbiditi, (dengan sebilangan kecil di bawah umur 60 tahun) telah menerima dos pertama mereka.

Sementara itu, Rithuan berkata sekurang-kurangnya 75 individu telah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, yang dikuatkuasakan mulai 3 Mac.

katanya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk 26 kes gagal mengimbas kod MySejahtera, cuba merentas negeri tanpa kebenaran polis (24 kes) dan gagal mematuhi perintah kuarantin (17 kes).

“Kompaun yang dikeluarkan berjumlah antara RM1,500 hingga RM25,000 dengan kompaun tertinggi dikenakan ke atas operator pusat hiburan yang didapati menjalankan aktiviti hiburan malam,” katanya.