Masih Ingatkah PN Titah Agong Supaya Jaga Kestabilan Politik?


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA KINABALU: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu berasa malu dengan tindakan mereka sendiri yang mencemar titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat Malaysia tidak lagi diheret ke dalam kancah ketidakstabilan politik.

Malah, di kaca televisyen atau di mana sahaja, pemimpin-pemimpin PN bercakap kononnya rakyat tidak sepatutnya diheret sekali lagi dalam konflik politik terutama selepas Pakatan Harapan (PH) cuba untuk mengambil semula mandat yang diberikan rakyat pada 2018.

Hakikatnya, di Sabah, kerakusan pemimpin PN mengatur strategi untuk menggulingkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) menyebabkan ramai pemimpin menjadi ‘katak politik’ kerana ditawarkan pelbagai habuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau sebagai kerajaan pembangkang di Sabah telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan secara G2G, namun itu semua tidak dipedulikan.

Sebaliknya, kerajaan beliau ditekan dari pelbagai sudut manakala wakil rakyatnya pula ditakut-takutkan sehingga menyebabkan politik Sabah yang stabil selama ini menjadi mangsa.

“Banyak intimidasi banyak tekanan yang dilakukan oleh pihak parti lawan kita yang telah pun semua maklum bagaimana yang telah dilontarkan pelbagai suara sudah pun cukup, ‘kraftangan’ sudah pun cukup jadi itu yang melihat keadaan ini tidak sihat walaupun peringatan tuanku Agong dalam titah sidang Parlimen jangan ada banyak sangat politik.

“Tapi kita sedar dan tahu kita ingin mentadbir negeri tetapi dalam keadaan kita mahu mentadbir negeri sentiasa kita diganggu-gugat oleh pihak ini jadi dengan itu kita pastikan kita serahkan kepada rakyat dan kita yakin rakyat tahu nilai-nilai orang yang lompat sana lompat sini akan menjadi penentuan dalam gelanggan politik yang akan datang,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, beliau tidak mahu melihat Sabah menjadi negeri yang terhina dan tercemar disebabkan kerakusan pemimpin yang melompat parti, justeru beliau mengambil keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Katanya, sebagai pemerintah, kerajaan sepatutnya menjadi medium untuk menyatukan rakyat, namun apa yang berlaku di Sabah adalah sebaliknya apabila pemimpin PN lebih berminat untuk menimbulkan kekacauan politik.

“Saya nyatakan kerajaan negeri Sabah kita boleh kerjasama dengan Kerajaan Pusat G2G, politik letak tepi untuk kepentingan rakyat Malaysia di peringkat negeri Sabah, di Semenanjung kerana ini jadi ikatan kita.

“Tapi malangnya kita dapat melihat dalam kita ingin membangunkan negeri, kita ingin melahirkan peluang pekerjaan kepada anak-anak bangsa kita pelbagai gelanggang politik yang ada,” katanya.