Masih Ada Penduduk Guna Troli, Segera Bina Jalan Raya Tenom-Pangi-Rayoh-Beaufort

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu segera melihat keperluan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Tenom-Rayoh-Pangi-Beaufort yang kini hanya boleh diakses menggunakan kereta api.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang berkata, pada masa ini penduduk di Rayoh dan Pangi berhadapan kesukaran berurusan dimana-mana jabatan kerajaan di Pekan Tenom akibat akses perhubungan yang agak sukar.

Malah, apabila berlaku kecemasan, penduduk kampung terpaksa menggunakan troli sendiri untuk ke Pekan Tenom sekiranya perkhidmatan kereta api mengalami kerosakan.

Walaupun mengetahui keadaan itu berbahaya namun, pada masa-masa kecemasan, penduduk tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan troli sendiri.

Justeru, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah rakyat di sepanjang laluan itu dengan membina jalan raya menghubungkan Tenom dan Beaufort.

“Rancangan membina jalan raya Tenom-Beaufort ini telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada April 2001. Rancangan ini perlu dikaji semula untuk pelaksanaan.

“Itu satu-satunya cara menyelesaikan masalah penduduk kampung yang berada di laluan Tenom-Beaufort,” katanya dalam ucapan perbahasan Bajet Negeri 2023 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, bencana banjir yang berlaku pada tahun lalu dan awal tahun ini mengakibatkan banyak infrastruktur awam termasuk jalan raya mengalami kerosakan namun, sehingga kini, penyelenggaraan belum dilakukan.

Syarikat konsesi dan agensi terlibat menyatakan penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan.

Justeru, Rubin meminta agensi berkaitan segera membaiki kerosakan infrastruktur yang rosak kerana rakyat terpaksa berjalan kaki kerana kenderaan tidak dapat melalui laluan yang rosak akibat banjir.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan Daerah Kecil Kemabong dinaik taraf kepada status daerah penuh kerana aktiviti ekonomi dan sumber hasil pendapatan di kawasan ini membolehkan ia dinaik taraf.