Masidi Minta Rakyat Faham Keputusan Kerajaan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun meminta rakyat untuk memahami keputusan kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan perintah berkurung.

Katanya, perintah berkurung tidak dilaksanakan bagi memastikan rakyat dapat terus menjana pendapatan di musim yang sukar ini.

Tambahnya, beliau faham penularan Covid-19 sangat membimbang, namun kerajaan juga faham kesukaran yang dilalui oleh golongan berpendapatan rendah sekiranya perintah ‘lockdown’ dikuat kuasakan.

“Saya tahu ada juga yang mengatakan kenapa kita tidak mengadakan lockdown sepenuhnya, saya faham kenapa kerana ini menunjukkan rakyat bimbang dengan keadaan sekarang tetapi bagi kita yang berpendapatan tetap ,kerja atau tidak kerja kita tetap ada gaji.

“Tetapi bagi mereka yang perlu kerja setiap hari untuk menampung keluarga, kita perlu mempunyai perasaan empati terhadap mereka. Bagi segelintir masyarakat, mungkin RM10 mereka boleh beri orang lain sebagai hadiah, namun kepada mereka yang berpendapatan rendah, RM10 merupakan jumlah yang besar dalam kehidupan seharian mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Akhbar Perkembangan Semasa Covid-19 di Wisma Innoprise, petang tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat keperluan untuk memastikan ekonomi bergerak seiring dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

“Kita harus melihat satu pemisah atau imbangann antara keperluan untuk menyeramakkan ekonomi kita iaitu membolehkan rakyat biasa menjana pendapatan dengan imbangan untuk kita memastikan kita berjaya menangani Covid-19,”katanya.