Masanya Telah Tiba Untuk Rakyat Sabah Berpadu Dan Menolak Semua Parti Politik Malaya – Jo-Anna

KOTA KINABALU : Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bahawa Warisan adalah musuh utama Barisan Nasional (BN) di Sabah, secara tidak langsung menunjukkan mereka akur bahawa Warisan mempunyai kekuatan dan pengaruh sebagai parti pembangkang di Sabah.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata UMNO dan BN mungkin menyedari kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)/BN Sabah dapat menikmati hasil daripada usaha gigih kerajaan negeri terdahulu pimpinan Warisan.

“Contohnya hasil lebih RM1.8 billion daripada cukai jualan produk petroleum yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Warisan pada 2020.

Jo-Anna berkata keretakan dalam sistem di negara ini akan membawa kepada kegagalan sistemik dan akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban pengurusan negara.

“Sebagai contoh, rakyat Sabah terus berhadapan dengan halangan besar dalam mendapatkan akses kepada bekalan air yang lebih baik, bekalan elektrik, jalan berturap dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta pendidikan.

“Lebih-lebih lagi, Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dirangka oleh Kerajaan Persekutuan melaporkan bahawa lapan daripada sepuluh daerah termiskin di Malaysia, adalah di Sabah.

Jo-Anna berkata Sabah juga terus merekodkan kadar pengangguran terburuk di negara ini dengan kadar pengangguran belia pada suku pertama 2022 adalah 9.1% bersamaan 190,000 orang tanpa pekerjaan.

“Kenaikan kos sara hidup memberikan kesan kepada rakyat. Pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menghimpit masyarakat dan kerajaan dilihat gagal untuk mengurus tadbir perkara ini,” kata Jo-Anna dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebaliknya menurut Jo-Anna, Warisan akan terus fokus untuk memenuhi mandat rakyat Sabah dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebagai contoh, perkara berkenaan tambahan hasil dan geran khas 40% untuk Sabah seperti terkandung dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan kewangan yang dipersetujui oleh Persekutuan, Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan cadangan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan pada 27 Februari 1963 dan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Akta Malaysia 1963.

“Ini akan membolehkan Sabah menguruskan keuntungannya daripada sumber perhutanan, minyak dan gas, dan sumber lain. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak menikmati keistimewaan yang unik.

“Di sini kita nampak kegagalan UMNO untuk melaksanakannya seperti yang dijanjikan oleh Presiden UMNO ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020,” tegasnya.

Jo-Anna berkata Warisan sentiasa konsisten dalam memperjuangkan agenda membina negara bangsa atau “nation building”.

“Warisan akan terus memperkukuhkan kehadirannya di Sabah dan memberi impak positif kepada rakyat Sabah secara amnya.

“Hanya dengan memilih parti yang jelas hala tuju perjuangan untuk rakyat, Sabah akan dapat memastikan kemelut ini tidak akan bertambah buruk,” katanya.

“Masanya telah tiba untuk rakyat Sabah menolak semua parti politik Malaya dan berpadu demi mempertahankan hak kita sebagai rakyat.

“Kita pernah melalui pemerintahan kerajaan BN (UMNO), tetapi rakyat Sabah masih belum melihat janji-janji mereka ditunaikan,” tambahnya.