Masalah Kemudahan Pusat Kuarantin Akan Dibincang Dengan Persekutuan – Frankie

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan di peringkat persekutuan mengenai masalah kemudahan di pusat-pusat kuarantin di Sabah.

Beliau berkata, ada antara pusat kuarantin ini ditempatkan di bangunan persekutuan yang agak lama dimana, ia memerlukan penambahbaikan.

Katanya, dalam masa sama kerajaan Sabah juga sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan masalah di pusat-pusat kuarantin ini.

Berikutan itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan melihat keperluan dan kebajikan petugas kesihatan dan jururawat pelatih yang berada di bangunan lama sebegitu.

Menurutnya, beliau sendiri kurang senang melihat kemudahan di beberapa pusat perubatan sejak hari pertama.

“Atas sebab itu, saya meminta dan merayu kepada kerajan persekutuan supaya memberi layanan sama kepada mana-mana rakyat yang tiba dari luar negara di Kuala Lumpur esok,” katanya ketika mengulas mengenai masalah kemudahan di pusat-pusat kuarantin di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebaik sahaja melihat kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa hotel tiga bintang di Kuala Lumpur akan digunakan sebagai pusat kuarantin, beliau terus menghantar pesanan Whatsapp kepada menteri berkenaan agar menambah baik kemudahan pusat kuarantin di Sabah.

Katanya, beliau sedang menunggu jawapan daripada menteri kesihatan. Malah, beliau turut memaklumkan perkara itu kepada pegawai di kementerian.

Tambahnya, beliau akan mengemukakan surat secara rasmi.