Masalah Bekalan Air Tiga Kampung di Tuaran Bakal Selesai

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turun padang meninjau masalah air yang dihadapi tiga buah kampung di Kiulu baru-baru ini.

Kampung tersebut terdiri daripada Kampung Longkou Baru, Kampung Logub dan Kampung Kotunuan Baru.

Kunjungan itu turut disertai jurutera untuk melihat dan memberi nasihat cadangan bagi menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk.

Bercakap ketika ditemui pemberita, Madius memaklumkan antara cadangan penyelesaian yang akan dibuat ialah menaiktaraf sumber air graviti agar mampu menampung keperluan setiap penduduk kampung.

“Saya telah melawat ke sumber air graviti masing-masing ketiga-tiga kampung ini. Dan didapati sumber yang sedia ada, tidak mampu menampung keperluan terutama pada musim kemarau.

“Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung terhadap air terawat daripada jabatan air yang mana juga tidak mencukupi.

“Saya juga mendapat tahu bahawa kawasan ini, dalam perancangan untuk penyaluran bekalan air terawat, tapi seperti yang kita sedia maklum, selagi Loji Rawatan Telibong 2 belum siap dibina, bekalan air akan menjadi masalah utama seperti yang dihadapi di beberapa perumahan di sekitar bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Madius memaklumkan penaiktarafan adalah melalui proses gotong royong dalam kalangan penduduk kampung atas nasihat jurutera.

“Kita mahu penduduk terlibat langsung kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan untuk kampung masing-masing.

“Saya akan menggunakan sedikit peruntukkan yang ada untuk menyediakan kelengkapan yang diperlukan. Kuncinya di sini, semua penduduk membina sumber air graviti mengikut apa yang dirasakan terbaik untuk mereka dengan bimbingan jurutera yang telah saya bawa bersama hari ini,” jelasnya.

Pada tinjauan itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut berjalan kaki hampir dua jam untuk melihat sendiri sumber mata air bagi tujuan bekalan air graviti.

Sementara itu, wakil penduduk kampung Longkou Baru, Janius Japar, 50 mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Madius.

Katanya, apabila siap nanti bekalan air itu mampu menampung keperluan kira-kira 500 pennduduk di kampung tersebut.

Bagi Crispin Tanggaron, 60, usaha Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menunjukkan kewibawaan seorang pemimpin berjiwa rakyat.
Wakil penduduk Kampung Logub itu memaklumkan selama ini tiada wakil rakyat yang naik sendiri melihat sumber air graviti.

“Hanya dia saja sampai di mata air untuk mengatasi masalah kami tetang air, saya harap semua penduduk kampung berterima kasih kepada datuk.

“Sebelum ini Datuk Madius pernah memberikan kami tangki di setiap rumah tapi masalah air yang dihadapi masih belum dapat diselesaikan. Kami berterima kasih dengan lawatan ini, masalah bekalan air kami akan bakal diatasi,” katanya.

Wakil penduduk Kampung Kotunuan Baru turut senada dengan Crispin dan Janius.
Jaimis @ Charles Muyat, 70, berkata, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kerana Madius hadir sendiri melihat masalah yang dihadapi penduduk kampung.

“Sebelum ini, Datuk Seri sudah memberikan peruntukkan untuk sumber air graviti ini tapi masih belum dapat menampung keperluang penduduk. Diharap dengan langkah penyelesaian yang diambil kali ini, saya fikir masalah ini akan mampu diatasi,” katanya.