Masalah Bekalan Air Telupid Akan Diberi Perhatian – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Masalah bekalan air yang melanda Telupid dan Paitan sejak sekian lama mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mohd. Shafie berkata, masalah itu seolah-olah menjadi perkara asas di Sabah sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) apabila daerah-daerah lain turut ditimpa masalah sama.

”Kita ambil serius (masalah air) kerana perkara ini bukan hanya berlaku di Telupid, tapi juga di Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Papar dan Kiulu.

“Ia sudah menghantui kita berpuluh tahun dan kita hendak selesaikan bagaimana bekalan ini mencukupi.

”Kadang-kadang kita ada empangan tapi tiada loji rawatan air dan ia menyebabkan kita tidak dapat menyalurkan air.

”Atas sebab itu, kita rombak Jabatan Air namun, ia akan mengambil sedikit masa untuk kita menambah baik kemudahan bekalan air ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah daerah Beluran dan Telupid, di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, jika kerajaan terdahulu enggan menyelesaikan masalah rakyat sekama puluhan tahun, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan tindakn segera diambil walaupun kerajaan hari ini baru berusia dua tahun.

Sehingga kini, 16 kampung di Telupid belum memperoleh bekalan air luar bandar (BALB) dan kawasan Pekan Telupid masih berdepan catuan bekalan air.