Masalah Bekalan Air Di Pasar Awam Beaufort Akan Diselesaikan – Jaujan

85
Jaujan melihat ayam yang dijual ketika Lawatan Kerja ke Pasar Awam Daerah Beaufort, di sini pada Ahad

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BEAUFORT: Kerajaan Sabah sedang dalam proses menyelesaikan permasalahan bekalan air bersih di Pasar Awam Beaufort yang dihadapi peniaga sejak bertahun lamanya.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, rungutan peniaga tentang masalah bekalan air bersih di pasar awam itu sudah diambil perhatian oleh Kerajaan Sabah baharu.

“Kini, kita sudah mengambil langlah dan dalam proses menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Kerja ke Pasar Awam Daerah Beaufort, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau juga mahu pengurusan pasar awam itu disusun semula demi keselesaan peniaga dan pengguna yang sering berkunjung ke pasar berkenaan.

Katanya, kelekaan dalam pengurusan pasar awam tersebut menyebabkan bangunan yang cantik itu tidak kelihatan menarik disebabkan tahap kebersihannya yang kurang memuaskan.

Jaujan bermesra bersama peniaga ketika Lawatan Kerja ke Pasar Awam Daerah Beaufort.

“Saya yakin dengan penyusunan semula pasar ini mengikut konsep yang lebih selesa, saya rasa kita akan dapat menghidupkan kembali suasana pasar ini peniaga di sini tidak hilang sumber pendapatan harian.

“Sekiranya mereka hilang punca pendapatan ia akan mendatangkan beban kepada keluarga. Terutama bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah,” ujarnya.

Jaujan berkata, pihak pentadbiran seharusnya mengutamakan kebersihan serta menaiktarafkan kemudahan seperti bilik sejuk beku bagi memudahkan peniagaan menyimpan bekalan bahan jualan seperti ikan serta daging segar.

Katanya, pasar awam menjadi perhatian Kerajaan Sabah melalui kementeriannya.

Atas sebab itu, pada Sabtu beliau mengumumkan semua pasar awam di 25 kawasan pemantauan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dinaik taraf agar sentiasa bersih, selesa dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

Mengulas lanjut, beliau mahu setiap ahli majlis daerah yang dilantik di seluruh negeri ini agar mampu membuat keputusan terbaik bagi meningkatkan kemudahan di kawasan masing-masing.

Katanya, jangan pula mesyuarat diadakan setiap bulan tetapi tidak mampu mencapai satu idea bernas untuk dimanfaatkan.

“Itu sebabnya setiap ahli majlis yang dilantik adalah berdasarkan kebolehan dan berasal dari kawasan masing-masing kerana mereka tahu kesesuaian serta keperluan daerah terbabit.

“Kembalikan kepentingan peranan pasar awam kepada rakyat di setiap daerah, saya harap tindakan segera dapat diambil untuk menaik taraf pasar di sini,” katanya.

Jaujan turut mencadangkan agar kemudahan seperti meja penjual dapat diseragamkan agar ianya cantik ketika dipandang, bagaimanapun ianya terpulang kepada ahli majlis untuk berbincang mengenai perkara itu.

Katanya, pasar awam perlu dijadikan tumpuan awam kerana pada ketika kini peranannya diambil alih oleh pasaraya-pasaraya swasta yang besar.

“Pasar semakin kosong dan tidak lagi memberi manfaat besar kepada pelanggan, apa yang saya bimbang adalah peniaga orang tempatan kehilangan tempat mencari sumber pendapatan kerana kurangnya pengguna mengunjungi pasar awam ini,” katanya.