Masalah Air Kampung Manggaris Bakal Berakhir

274

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Projek bekalan air ke Kampung Menggaris, Kota Marudu, bakal menjadi realiti, sekali gus mengakhiri penderitaan penduduk di situ sejak bertahun-tahun lamanya.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Amarjit Singh berkata, proses tender bagi projek menelan belanja RM24.2 juta itu telah dikeluarkan Mei lalu dan dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Menurut Amarjit, apabila siap sepenuhnya kelak, projek berkenaan meliputi kerja membina tiga rumah pam dan dua tangki air berkapasiti 1.2 juta liter padu serta 0.75 juta liter padu yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

“Projek ini lebih kurang RM24.2 juta, jadi rakan-rakan kita di kementerian akan mempersembahkan kepada lembaga tawaran yang akan membuat keputusan untuk menawarkan tender itu, jadi saya berharap penduduk-penduduk di Kampung Menggaris, Kota Marudu ini bersabar sedikit, saya berpendapat mungkin dalam masa sebulan atau dua bulan lagi selepas kontraktor tersebut telah dilantik.

“Projek ini akan dikendalikan sebenarnya oleh JANS, pengarah adalah pegawai penguasa, bila kontraktor itu sudah masuk, jadi kita akan nampak harapan ini tidaklah menjadi harapan lagi akan menjadi realiti di bawah kerajaan baharu iaitu kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri Sabah” katanya.

Semalam, Borneo Today melaporkan rintihan penduduk Kampung Menggaris, yang berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih sejak bertahun lalu.

Sungai Menggaris yang kini cetek dan kotor menjadi tempat bergantung sebagai sumber air utama bagi keperluan seharian penduduk untuk mandi, membasuh pakaian dan juga minuman.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Borneo Today kerana telah melaporkan punya masalah di sana. Sebenarnya projek bekalan air luar bandar di kampung ini bermula pada Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu tahun 2017 lagi tetapi telah mengambil sedikit masa mungkin kerana ada kekangan di peringkat Kerajaan Persekutuan” kata Amarjit ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurut Amarjit, ketika itu projek bekalan air di Menggaris bukan di bawah bidang kuasa JANS kerana tidak dibiayai kerajaan Sabah, sebaliknya di bawah kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Katanya, juruperunding bagi projek bekalan air Kampung Menggaris, telah dilantik dan proses reka bentuk juga telah siap.

BERITA BERKAITAN : –

Penduduk Kg Menggaris Perlu Bekalan Air Bersih