Masalah Air Di Kuala Penyu Akan Diatasi Segera – Peter Anthony

KUALA PENYU: Hampir 1,000 penduduk daripada tujuh buah kampung di daerah Kuala Penyu bakal mendapat impak positif selepas kerajaan negeri mengambil inisiatif jangka pendek dengan membekalkan sebanyak 50,000 liter air kepada setiap kampung bagi kegunaan seharian penduduk.

Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata inisiatif berkenaan diambil sebagai langkah awal menyelesaikan masalah air di kawasan berkenaan yang telah berlarutan hampir 10 tahun lalu.

Katanya, masalah itu perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan kemudahan asas yang sangat diperlukan rakyat dalam aktiviti harian mereka.

“Untuk menyelesaikan masalah air di kawasan ini kita bersetuju untuk membekalkan serta-merta sebanyak 50,000 liter air di tujuh buah kampung,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat kawasan perpaipan air di Kampung Tangulian, Batu Linging, baru-baru ini.

Tujuh buah kampung yang mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan adalah Kampung Tongilan, Kampung Tongilung, Kampung Sawangan, Kampung Kiaru, Kampung Mampakul dan Kampung Padang Golf.

Peter berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka panjang masalah air itu, beberapa loji baharu akan dibina di kawasan berkenaan bagi menampung keperluan penduduk.

“(Langkah) jangka panjang seperti yang saya nyatakan tadi, kita akan membina beberapa loji mengikut kesesuaian dan beberapa perancangan yang sedang kita buat,” katanya.

Beliau terdahulu berkesempatan mengadakan lawatan di Pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Daerah Kuala Penyu dan Stesen Pengepaman, Air Kayul, Kuala Penyu, untuk pemantauan rapat permasalahan infrastruktur di daerah berkenaan. – Astro Awani