Maritim Tahan Tiga Bot Vietnam Tangkap Ikan Guna Renjatan Elektrik

202

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan tiga bot nelayan Vietnam yang didapati menangkap ikan tanpa lesen dalam kawasan perairan negara, dengan menggunakan kaedah renjatan elektrik.

Pengarah Maritim Sabah Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hasan berkata bot berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan di kawasan Pulau Layang-Layang, Khamis lalu pada pukul 3.00 petang.

“Setelah diperiksa, bot itu didapati memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang iaitu menggunakan kaedah renjatan elektrik yang boleh mengancam ekosistem hidupan laut selain tidak mempunyai lesen sah menangkap ikan,” katanya pada sidang media di Jeti APMM, Sepanggar di sini, hari ini.

Kamaruszaman berkata seramai 33 awak-awak termasuk tiga tekong warganegara Vietnam berumur antara 16 dan 55 tahun turut ditahan dan direman untuk tindakan lanjut, dan menurutnya kes akan disiasat dibawah Seksyen 14(3)(b), Seksyen 15 dan 26 (1) (c)Akta Perikanan 1985.

Katanya, hasil tangkapan itu juga adalah kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya memintas bot berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak APMM.