Maritim tahan Empat PATI Bersama Hasil Ikan Dibom

87
Muhammad Suffian melihat proses membelah perut ikan yang telah dibom.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina yang dipercayai baru selesai mengebom ikan menggunakan sebuah bot pam semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Maritim Sabah, Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan di kedudukan 0.55 batu nautika di Tanjung Tavajun, Pulau Gaya pada pukul 7.05 petang.

Katanya, ketika ditahan, terdapat kira-kira 100 kilogram pelbagai jenis ikan di dalam bot berkenaan yang baru dibom dan hendak dijual.

Ikan yang dibom walaupun kelihatan masih segar secara luaran, namun organ dalamannya telah hancur.

“Hasil usaha kami memintas laluan yang selalu digunakan oleh suspek, kami berjaya menahan bot tersebut yang memuatkan kira-kira 100 kilogram ikan berharga RM2,000 bersama empat awak-awak.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1963 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

PATI yang ditahan Maritim Malaysia.

Muhammad Suffian berkata, tiada bahan letupan ditemukan di dalam bot tersebut kerana suspek dipercayai membuangnya ke dalam laut ketika dikejar oleh bot penguat kuasa.

“Bagaimanapun kita akan siasat untuk tahu di mana mereka mendapatkan bekalan untuk menghasilkan bom ikan ini, kita mahu golongan ini dihapuskan,” katanya.

Kira-kira 100 kilogram ikan hasil dibom ditemukan di dalam bot pam digunakan PATI yang ditahan.

Tambahnya, orang awam diminta berhati-hati ketika membeli ikan bagi mengelak daripada mendapat ikan yang dibom dan terdedah dengan bahan kimia.

Jelas beliau, cara untuk mengetahui sama ada ikan berkenaan dibom atau tidak ialah memeriksa bahagian perut iaitu bagi ikan yang dibom, organ dalamannya telah hancur.