Maritim Semporna Patahkan Cubaan Penyeludupan Rokok Dari Negara Jiran

1330
Anggota Maritim Malaysia dengan bungkusan rokok jenama Astro yang cuba dibawa masuk ke Sabah Jumaat malam. Tekong bot dapat melarikan diri. – Gambar ihsan Maritim Semporna

Oleh BORNEOTODAY
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pangkalan Maritim 18 Semporna (PM18) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok seludup di perairan Tobo-Tobo, malam tadi (Jumaat).

Pengarah Maritim Pangkalan Semporna PM 18, Leftenan Komander Maritim Amiludin bin Yenggah berkata aktiviti ini dikesan hasil daripada maklumat serta intipan selama dua hari oleh pasukan perisikan Maritim Malaysia Semporna.

Berdasarkan maklumat tersebut, bot APMM yang sedang dalam penugasan Ops Pluto Timur digerakkan dan telah berjaya memintas bot penyeludupan pada jam lebih kurang 9.45 malam.

Left Kom Amiludin dalam satu kenyataan Sabtu, berkata: “Ketika pemintasan dilakukan oleh Bot Cenderawasih 09, seorang lelaki dipercayai tekong bot penyeludup berkenaan telah melarikan diri dengan terjun ke laut bagi mengelak ditangkap.

“Dia meloloskan diri ke daratan berhampiran Kampung Senang Hati Semporna.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui empat kotak mengandungi kurang 150 karton rokok putih berjenama ASTRO dengan nilai anggaran keseluruhan lebih kurang RM 25,000 termasuk nilai bot serta enjin.”

Bot serta barang kes telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Tambahnya lagi, Maritim Malaysia Semporna akan terus mempertingkatkan kawalan serta rondaan di perairan Semporna bagi mengekang kegiatan penyeludupan ini daripada berleluasa.

Sebarang maklumat atau aduan di laut boleh menghubungi terus bilik operasi 24 jam di talian 089-782619 atau talian MERS 999.