Maritim Semporna Gagalkan Cubaan Seludup Masuk Rokok RM45,000

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Semporna mematahkan cubaan menyeludup masuk 380 karton rokok putih tanpa cukaibernilai RM45,000 di Pulau Larapan, di sini, awal pagi tadi (26 April).

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata,
hasil maklumat risikan, Zon Maritim Semporna mengatur gerak bot ronda ke
lokasi di kedudukan 0.3 batu nautika Timur Pulau Larapan, Semporna sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Katanya pasukan operasi menemui empat bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan kerana pemandu atau pemiliknya dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaan menemui 380 karton rokok putih tanpa cukai yang dipercayai diseludup
masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok, bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM45,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai.

Norrimi berkata siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan pemilik bot serta
dalang di sebalik kegiatan ini.

Katanya, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan panas atau ‘hot spot’ khususnya di sekitar sempadan perairan negara.

Ia bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui
jalan laut.

Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang
maklumat berkaitan penyeludupan atau aktiviti jenayah maritim lain untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.