Maritim Rampas Sampan Miliki Peralatan Bom Ikan Di Pulau Gaya

197
Pemeriksaan di Pasar Besar Kota Belud.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah menahan dua sampan yang memiliki bahan letupan dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti pengeboman ikan di perairan Pulau Gaya, pada pagi Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, penahanan itu dilakukan dalam Operasi Khas mengesan dan membanteras aktiviti pengeboman ikan, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penggunaan pam bot haram yang tertumpu di kawasan Teluk Likas dan sekitar Pulau Gaya.

Bagaimanapun ketika kedua-dua sampan dihampiri, dua awak-awak sampan bertindak terjun ke dalam laut dan berenang ke daratan berhampiran setelah menyedari kehadiran pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

Kedua-dua sampan itu ditahan berhampiran Pulau Plompong dan Tanjung Logong, Pulau Gaya sekitar 9.50 pagi.

Kamaruszaman berkata, Maritim Negeri telah mempergiatkan operasi mengesan dan membanteras aktiviti pengeboman ikan seluruh Zon Maritim berikutan insiden malang yang meragut nyawa dua pelancong China dan seorang jurulatih penyelam tempatan di Pulau Kalapuan Semporna, pada 5 Julai lepas.

“Dalam operasi kali ini kita mengaturgerak ke kawasan Teluk Likas yang dipercayai kawasan panas aktiviti mengebom ikan dalam kalangan PATI. Kawasan ini ditumpukan hasil maklumat orang awam dan risikan kita.

“Sejak operasi khas ini dijalankan bermula Mei, ini adalah hasil pertama kita setelah berjaya merampas sampan yang memiliki bahan letupan ketika operasi dijalankan di perairan Pulau Gaya, yang juga kawasan panas aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Menurutnya, sampan dan bahan letupan serta peralatan mengebom ikan yang ditahan dibawa ke jeti Maritim untuk siasatan lanjut.

Dalam tempoh yang sama, Maritim Negeri turut menjalankan operasi khas bersama Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen di perairan Kota Belud bagi melumpuhkan aktiviti pengeboman ikan dan PATI.

Operasi khas melibatkan pelbagai agensi itu turut menyerbu Pasar Besar Kota Belud dan peniaga tepi jalan yang disyaki menjual ikan yang dibom.

“Dalam serbuan itu, ikan yang dirampas dan diperiksa anggota perikanan ternyata mati akibat gegaran dan terkena serpihan bom.

“Peraih-peraih di pasar berjaya melarikan diri apabila melihat kehadiran pegawai dan penguatkuasa di pasar berkenaan.

“Ikan-ikan yang ditinggalkan dirampas dan di sita untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Kamaruszaman berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985.

Katanya, Maritim Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dan peraturan di lautan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya mengutamakan keselamatab ketika berada di laut dan melaporkan sebarang kejadian di laut kepada Maritim Negeri di talian 088 260175.