Maritim Rampas Dadah Bernilai RM50,000 Di Perairan Menumbok

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 900 gram yang dianggarkan bernilai RM50,000 di perairan Menumbok awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, rampasan dadah itu dilakukan semasa bot peronda Maritim Malaysia melakukan penugasan rondaan OP Sejahtera, OP Benteng Laut Timur OP Kuda Laut di perairan Labuan telah mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 12.30 pagi semalam.

Sebaik dihampiri, bot tersebut bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Klias, Menumbok.

Beliau berkata, suspek berjaya meloloskan diri namun hasil pencarian di kawasan sekitar menemui sebuah bot gentian kaca yang ditinggalkan.

Hasil penggeledahan berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 900 gram disembunyikan di dalam bot tersebut.

Dadah beserta bot gentian kaca itu dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini boleh salurkan
maklumat kepada 087-427999.