Maritim Negeri Nafi Dakwaan Tidak Ambil Tindakan Kes Bom Ikan

177
ASMAWATI MOHD TUJERI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dakwaan menyatakan tiada tindakan diambil oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah mengenai kes pengeboman ikan yang dilaporkan di Kimanis Papar sama sekali tidak benar.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, aduan dikemukakan pengadu telah diserahkan kepada pegawai risikan untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak Maritim Negeri Sabah menerima panggilan 999 daripada seorang pengadu dan segala butiran pengadu dan aduan telah direkodkan oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah pada Isnin, jam 10.25 pagi.

“Segala butiran aduan juga telah diserahkan kepada unit risikan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi oleh BorneoToday, di sini pada Selasa.

Asmawati berkata, Maritim Negeri juga sedang merancang untuk melaksana operasi khas bagi membanteras aktiviti pengeboman ikan.

Untuk makluman, pengadu telah dihubungi bagi menjawab segala aduan yang dikemukakan.

“Maritim Negeri Sabah sentiasa membuat pemantauan di beberapa kawasan panas ‘hot spot’ yang telah dikenalpasti keran berlaku aktiviti ini terutama di kawasan Pantai Barat.

“Bagaimanapun Maritim menghargai kerjasama daripada komuniti setempat bagi mengekang aktiviti pengeboman ikan ini,” ujarnya.

Pada Isnin, seorang pengadu menularkan kenyataannya melalui laman Facebook dengan mendakwa Maritim Negeri tidak mengambil tindakan walaupun aduan mengenai kes pengeboman ikan sudah dibuat melalui talian 999.

Pengadu mendakwa tiada anggota Maritim Negeri yang datang ke lokasi yang dilaporkan untuk membuat tangkapan sedangkan bot pam masih sibuk mengebom ikan berhampiran kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

Menurut pengadu, aduan dibuat kira-kira 10 pagi sehingga mereka meninggalkan kawasan itu pada 1.20 petang namun, tiada pasukan Maritim yang datang ke kawasan berkenaan.