Maritim Malaysia Tumpaskan Aktiviti Seludup, Tahan Dua Warga Indonesia

Suspek warga Indonesia yang ditahan.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Cubaan dua warga Indonesia menyeludup keluar barangan bersubsidi tidak kesampaian apabila bot kargo yang dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Maritim Malaysia turut merampas 80 tong gas LPG, 7,200 paket gula pasir dan lebih 4,000 makanan sejuk beku seberat 1,500 kilogram.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, terdahulu pihaknya melancarkan Op Pluto Timur dan Op Sejahtera di lokasi kejadian sebelum berjaya mengesan bot kargo tersebut.

Barangan yang cuba diseludup termasuk 80 tong gas LPG dan 7.2 tan gula pasir.

“Bot kargo yang dinaiki seorang juragan dan seorang anak kapal itu dikesan bergerak dari perairan Tawau menuju ke Sungai Melayu, Indonesia.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek berumur 42 dan 48 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambah Siva, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa muatan barangan bersubsidi dari Malaysia termasuk gula dan tong gas LPG.

“Suspek juga tidak dapat mengemukakan dokumen kebenaran pemilikan barangan bersubsidi tersebut, selain tidak mempunyai dokumen pengisytiharan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terhadap barangan yang dibawa.

“Sehubungan itu, APMM merampas semua barangan tersebut termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM175,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang bersubsidi dan kawalan tanpa kebenaran.

Dalam masa sama, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini secara haram.