Maritim Malaysia Temukan Bekakuk Dan Peluru, Pemilik Lolos

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemui selaras senapang ‘bekakuk’ bersama tiga butir peluru dalam sebuah bot berdekatan hutan nipah di perairan Sungai Beluran, dekat Beluran, semalam.

Sebelum senjata itu ditemui, pasukan Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Pluto Timur terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari arah laut menuju ke Pekan Beluran dalam kejadian pukul 11.06 pagi itu.

Bot terbabit bagaimanapun memecut laju ke arah kawasan hutan nipah sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Zainudin Mohd Zuki, berkata tiada tangkapan dilakukan kerana pemilik bot dipercayai berjaya meloloskan diri ke hutan berhampiran.

“‘Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang menggunakan enjin 15 kuasa kuda itu, kita menemui senapang ‘bakakuk’ dalam beg yang disembunyikan di bawah lapisan kayu.

“Kita turut menemui peluru dalam beg kecil di tempat yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zainudin berkata, bot itu kemudian dibawa ke Jeti Pos Maritim Beluran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Beliau mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.