Maritim Malaysia Tawau Rampas Rokok Kretek Bernilai RM121,800

49

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyudup 1,600 karton rokok kretek dalam Op Pluto Timur di perairan Sungai Tawau, di sini lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, pihaknya turut merampas sebuah bot laju dan dua enjin Yamaha 200 kuasa kuda menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM121,800.

“Sebelum kejadian, anggota bertugas menemui satu bot laju dipercayai dari Indonesia menuju ke perairan Sungai Tawau di Kampung Titingan, kira-kira 3.3 batu nautika dari pantai, dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran kami, suspek bertindak melarikan sebelum terkandas di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, dua suspek dipercayai lelaki dilihat terjun ke laut sebelum berenang ke darat dan menghilangkan diri, meninggalkan bot laju mereka.

“Hasil siasatan ke atas bot yang tidak berdaftar itu, pihak berkuasa menemukan 20 kotak berisi rokok kretek dipercayai cuba diseludup dan dijual di Tawau.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia merampas semua barangan termasuk bot dan enjin dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana mengelak dikenakan cukai,” katanya.