Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Bawa 700 Tong Gas LPG

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo yang membawa 700 tong gas petroleum cecair (LPG) kerana

melebihi jumlah yang dibenarkan di dalam kelulusan permit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kargo itu ditahan bot ronda
Maritim Malaysia yang dalam penugasan Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan di kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika barat daya Sungai Logpon, 6.15 petang semalam.

Terdahulu, bot ronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan bot kargo terbabit yang dalam keadaan mencurigakan dari arah Sungai Logpon menuju ke Pulau Sebatik.

Pemeriksaan awal mendapati bot kargo terbabit dikendalikan seorang tekong berusia 36 tahun yang memiliki pasport Indonesia bersama empat penumpang lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 62 tahun.

Ketika diperiksa, tekong bot itu telah mengemukakan permit membawa barangan untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik.

Namun hasil pemeriksaan fizikal, bot kargo itu disyaki membawa tong gas LPG melebihi jumlah yang ditetapkan di dalam permit.

Tekong serta kesemua penumpang bot ditahan manakala bot dan muatannya turut dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot kargo itu menemukan sejumlah 700 tong gas LPG yang melebihi jumlah 260 tong gas LPG yang dibenarkan di dalam permit yang diluluskan oleh KPDNHEP.

“Zon Maritim Tawau akan membuat siasatan lanjut mengenai kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang terletak hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia,” kata Siva Kumar dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua barangan yang dirampas termasuk bot kargo, enjin bot dan muatannya dianggarkan bernilai RM167,000.