Maritim Malaysia Sandakan Bantu Pindahkan Pesakit Pulau Semayang

Anggota Maritim membuat persiapan untuk memindahkan pesakit dari Pulau Semayang ke Sandakan. – Gambar ihsan Maritim Sandakan

Oleh BORNEOTODAY
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 17 Sandakan (DM17) telah memberi bantuan kecemasan bagi memindahkan seorang penduduk kampung di Pulau Semayang yang mengalami bengkak kaki yang serius serta demam ke Hospital Duchess of Kent, Khamis petang.

Bilik Operasi DM17 telah menerima panggilan telefon daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan pada pukul 5.30 petang semalam meminta bantuan bot bagi memindahkan Umbara bin Hussin, 53 tahun, berikutan tiada klinik di pulau tersebut dan hanya menggunakan pengangkutan air untuk sampai ke tanah besar.

Timbalan Pengarah Operasi DM 17, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid seterusnya mengarahkan bot Kilat 37 untuk mengambil pesakit dan dibawa ke Jeti Maritim Sandakan.

“Kilat 37 yang membawa pesakit selamat merapat di Jeti Maritim Sandakan pada jam 7.45 malam (Khamis) dan seterusnya di bawa menaiki ambulans ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan bersama 5 anggota APM,” katanya ketika ditemui di sini Jumaat.

Tambahnya lagi, Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat yang memerlukan bantuan sekiranya ada kemalangan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam di talian 089-229504 atau talian MERS 999.