Maritim Malaysia Sabah Tingkat Rondaan, Operasi Di Musim Perayaan

96
Gambar hiasan saja.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi pada musim perayaan ini bagi memastikan tahap keselamatan perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berada dalam keadaan terkawal.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata fokus utama operasi adalah untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali gus mencegah aktiviti penyeludupan barangan terkawal ke negara jiran terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Penguatkuasaan dan rondaan semestinya dipertingkatkan bagi membendung aktiviti jenayah di laut. Oleh itu, aset-aset sedia ada akan diatur gerak bagi melaksanakan operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kamaruszaman Abu Hassan.

Kamaruszaman berkata Maritim Malaysia Sabah juga akan terus melakukan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan PATI, penyeludupan barang-barang terkawal dan aktiviti menyalahi undang-undang perairan di Sabah.

Dalam pada itu, Kamaruszaman turut mengingatkan komuniti maritim yang menggunakan jalan laut untuk berhari raya ke rumah saudara mara dan rakan taulan di pulau-pulau untuk menjaga keselamatan dengan memastikan mereka menggunakan jaket keselamatan serta membawa alat keselamatan semasa di laut.

Komuniti maritim dan orang awam juga boleh melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau pihak Maritim Malaysia Sabah di talian 088-270165 atau 088-270107, katanya.