Maritim Malaysia Rampas Syabu Di Pulau Bum Bum

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 149.69 gram di Pulau Bum Bum, dekat sini, hari ini.

Pengarah Maritim Zon Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dalam kejadian pukil 9.30 pagi itu, pihaknya turut merampas bot pam dan dua unit enjin dengan anggaran keseluruhan bernilai RM35,000.

“Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota APMM Semporna melancarkan Ops Sejahtera di lokasi berkenaan sebelum menemui sebuah bot pam dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua lelaki itu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan darat berhampiran,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Norrimi, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan berjaya menemui syabu.

“Kami percaya suspek dalam perjalanan untuk menyeludup keluar dadah berkenaan ke Filipina.

“Ini adalah tangkapan pertama APMM Semporna berkaitan dadah tahun ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.