LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup rokok kretek dan tembakau di perairan Telukan, di sini pagi tadi.
Pengarah Zin Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dalam operasi pukul 7.30 pagi itu, APMM turut merampas 86 karton rokok pelbagai jenama 100 paket rokok tembakau.
“Terdahulu, sepasukan anggota menjalankan tugas rondaan di perairan berkenaan sebelum menemui dua bot enjin sangkut di dua lokasi berasingan, masing-masing berada pada jarak 0.2 batu nautika Barat Daya dan 0.3 batu nautika Tenggara jeti awam Lahad Datu.
Tambah Abdul Muhaimin, hasil pemeriksaan ke atas dua bot tersebut berjaya menemukan beberapa bungkusan plastik yang berisi rokok dipercayai diseludup.
“APMM percaya kedua-dua bot saling berkaitan kerana mempunyai nombor perdaftaran yang sama dan palsu.
Semua barangan tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah.