Maritim Malaysia Rampas 500 Karton Rokok Seludup

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 500 karton rokok dipercayai diseludup di perairan Kampung Selamat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, pihak berkuasa turut merampas bot dan enjin dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM95,000.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media, hari ini.

“Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota kami melakukan rondaan selepas menerima maklumat berlakunya aktiviti penyeludupan di situ.

“Ketika rondaan dilakukan, anggota bertugas berjaya mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Selamat, iaitu kira-kira 0.7 batu nautika dari Pulau Bum-Bum,” katanya.

Tambah Norrimi, pihaknya cuba mengejar bot tersebut untuk melakukan pemeriksaan, namun juragan bot bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah perkampungan atas air berhampiran sebelum menghilangkan diri.

“Maritim Malaysia kemudian melakukan pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan dan berjaya menemukan beberapa bungkusan kotak yang berisi 500 karton rokok pelbagai jenama.

“Pihak kami percaya tindakan suspek melarikan diri selain jenama rokok berkenaan menguatkan lagi dakwaan ia diseludup dari negara jiran untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya merampas semua rokok, bot dan enjin berkenaan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.