Maritim Malaysia Patahkan Cubaan Seludup Petrol, Suspek Lolos

Bot , tong gas dan minyak petrol yang dirampas di perairan Pulau Bum Bum, semalam.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas beberapa gelen minyak petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini menggunakan bot pam di Perairan Pula Bum Bum semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang ini, anggotanya terlebih dahulu menemukan sebuah bot pam yang dipandu seorang suspek di perairan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek kemudiannya nekad terjun ke dalam laut lalu berenang ke kawasan pokok bakau berhampiran dan meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami menemui sebuah bot pam bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota bertugas bertindak menghampiri bot pam berkenaan bagi melakukan pemeriksaan bagaimanapun, juragan bot itu terjun ke laut secara tiba-tiba dan menuju ke kawasan daratan berhampiran sebelum menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sembilan bekas berisi petrol dan sebiji tong gas berada di dalam pam bot berkenaan.

Menurut beliau, semua barangan tersebut termasuk dua enjin bot pam dirampas yang keseluruhannya bernilai RM5,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)