Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup 60,000 Batang Rokok Putih, Tekong Bot Terjun Ke Laut

TAWAU: Seorang tekong bot yang sedang membawa masuk rokok seludup dari negara jiran, bertindak nekad terjun ke dalam laut untuk mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tinagat, di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semasa rondaan bersepadu Op Pluto Timur/Op Sejahtera, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot laju mencurigakan yang bergerak dalam keadaan bergelap di kedudukan sekitar 0.5 batu nautika selatan Pulau Tinagat.

“Semasa diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan cetek dalam usaha meloloskan diri dari ditahan.

“Semasa dikejar, bot suspek telah mengalami kerosakan enjin dan tekong bot telah bertindak terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya suspek gagal dikesan berikutan keadaan cuaca yang gelap dan perairan yang cetek.

Shahrizan berkata pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan telah menemukan enam kotak besar berisi kira-kira 60,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM40,000 termasuk cukai.

“Rokok terbabit dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Kesemua hasil rampasan termasuk bot dan enjin dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya kesemua rampasan termasuk bot, enjin bot dan muatannya dianggarkan bernilai keseluruhan RM50,000.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.