Maritim Malaysia Bantu Pindah Kru Kapal Alami Kecemasan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Labuan telah melaksanakan satu bantuan pemindahan kecemasan (MEDEVAC) di perairan Labuan, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kira-kira 12.50 tengah malam tadi, Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerima panggilan daripada ejen kapal tanker ARISTOKLIS memaklumkan bahawa kapten kapal tersebut memerlukan bantuan pemindahan kecemasan ke darat untuk menerima rawatan akibat mengalami tekanan darah rendah dan muntah-muntah.

Justeru, Maritim Malaysia menggerakkan Bot Kilat 40 untuk memberikan bantuan kecemasan bagi memindahkan pesakit yang merupakan warganegara Rusia berumur 49 tahun daripada kapal seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan dan diserahkan kepada petugas kesihatan yang telah sedia menunggu di jeti.

Katanya, sebarang kecemasan di laut, boleh terus disalurkan melalui talian 999/ hotline Maritim Malaysia di talian 03-89434001 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui aplikasi whatsapp di talian 013- 2558539.