Maritim & Esscom Gerakkan Aset Tangani Isu Pengeboman Ikan

KAMARUSZAMAN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah akan bekerjasama dengan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi menangani masalah pengeboman ikan yang mengakibatkan kematian tiga penyelam di Pulau Kalapuan, Semporna pada Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya dan Esscom akan menggerakkan aset dan tenaga kerja agar operasi dan pemantauan keselamatan yang dilaksanakan berjalan lancar dan membuahkan hasil.

Beliau berkata, Maritim Negeri Sabah memandang serius insiden yang meragut nyawa jurulatih selaman dan dua pelancong warga China itu.

Dengan itu, pihaknya menasihatkan syarikat dan pengendali aktiviti selaman agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan semasa menyelam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“Kita tidak mahu disebabkan kecuaian dan sikap tidak mengendahkan faktor keselamatan mengakibatkan nyawa penyelam rekreasi terkorban.

“Penyelam yang berada di dasar laut seharusnya diawasi dari permukaan air dan tanda sepatutnya diletakan dimana aktiviti selaman sedang dilakukan.

“Disamping itu, faktor keselamatan kawasan menyelam juga hendaklah dipastikan selamat dan bebas daripada ancaman bom ikan sebelum aktiviti menyelam dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Kamaruszaman berkata, Maritim Negeri Sabah memandang serius aktiviti pengeboman ikan yang masih berlaku di negeri ini.

“Malah, pihak kami juga telah melaksanakan Operasi Khas untuk membanteras aktiviti mengebom ikan bermula pada hujung Mei sehingga kini.

“Operasi ini telah dilakukan dikawasan panas sekitar perairan Pulau Mantanani, Kota Belud dan Pulau Gaya.

“Operasi ini dilaksanakan berikutan aduan yang telah diterima oleh pihak Maritim dan maklumat risikan berkenaan aktiviti ini yang sering dilakukan dikawasan tersebut hingga menyebabkan aktiviti penyelam rekreasi tidak dapat dilakukan,” jelasnya.

Menurutnya, dalam mesyuarat bersama Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Imigresen serta Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah baru-baru ini turut membincangkan isu pengeboman ikan yang dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penempatan mereka juga telah dikenalpasti.

Untuk itu, semua agensi terlibat akan mengembeleng tenaga dalam memerangi aktiviti ini sehabisnya.

Kamaruszaman turut menyarankan semua komuniti Maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di lautan dan melaporkan sebarang kejadian berlaku dilaut di talian 088- 260175 dengan segera.