Maritim Bantu Pindahkan Kru Kapal Terima Rawatan Apendiks

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan membantu memindahkan kru kapal yang mengalami apendiks untuk mendapatkan rawatan di daratan.

Untuk itu, Maritim Zon Labuan melaksanakan satu bantuan pemindahan kecemasan (Medevac) di perairan Labuan semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kapal Rig Sapura Pelaut pada jam 11.35 malam memaklumkan seorang kru kapal memerlukan bantuan pemindahan kecemasan ke darat untuk menerima rawatan apendiks.

Justeru, bot Kilat 40 telah digerakkan bagi memberi bantuan kecemasan untuk memindahkan pesakit berkenaan daripada kapal yang sedang bersauh seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan.

Pesakit itu kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan yang telah sedia menunggu di jeti berkenaan.

Nudin menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talian 999 atau hotline Maritim Malaysia di talian 03-89434001 jika berlakusebarang kecemasan di laut.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui aplikasi whatsapp 013-2558539.