Marin Rampas Tujuh Perahu Dalam Operasi Khas Di Semporna

355
Perahu yang dirampas dibawa ke Markas PPM Semporna.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Semporna menahan dan merampas tujuh perahu yang menggunakan bot pam dan enjin pam dalam Operasi Khas ke atas bot-bot kampung yang beroperasi menggunakan enjin pam di perairan Semporna, di sini pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi itu sebanyak enam kes tangkapan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dilakukan dan ia turut membabitkan penahanan 10 lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi tujuan pemeriksaan dokumen pengenalan diri, permit dan lesen bot.

“Daripada pemeriksaan dilakukan, tiga perahu menggunakan bot pam tidak berdaftar serta empat perahu menggunakan enjin pam berdaftar tetapi dikendalikan oleh bukan warganegara berjaya ditahan dan dirampas.

“Kesemua yang ditangkap dan peralatan yang dirampas dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Pegawai Perikanan dan PPM melakukan pemeriksaan ke atas ikan yang dijual di Pasar Basah Semporna.

Menurutnya, PPM dengan kerjasama agensi lain akan terus menggerakkan pegawai dan aset yang ada dengan lebih agresif bagi mengenalpasti bot-bot menggunakan enjin pam tidak berdaftar yang beroperasi di perairan Sabah.

Operasi khas yang dijalankan juga bertujuan menguatkuasakan akta dan peraturan aspek-aspek keselamatan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 dan Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.

Dalam menangani aktiviti pengeboman ikan di Semporna pula, PPM dan Jabatan Perikanan turut melancarkan Op Bersepadu bagi memeriksa premis-premis penjualan ikan di Pasar Basah Semporna untuk mengesan ikan dibom yang dijual di pasaran.

Bagaimanapun dalam pemeriksaan itu tidak menjumpai ikan dibom mahupun sebarang peralatan mengebom ikan.