Maqis Labuan Tahan ‘Bentonite’ Bernilai RM226 Ribu

34

LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)  Labuan berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 20 kontena yang berisi Bentonite tanpa Import Permit (IP) pada 3 Feb di Pelabuhan Dermaga dan Merdeka Labuan.

Pengarah MAQIS Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata, kontena yang diikrar sebanyak 400,000kg itu yang bernilai RM226,293.41 dibawa masuk tanpa permit MAQIS.

Menurutnya, kontena yang mengandungi konsainan Bentonite ini telah melalui pemeriksaan fizikal yang dijalankan Pegawai penguat kuasa MAQIS, dengan kerjasama pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya lagi, aktiviti membawa masuk konsainan Bentonite tanpa dokumen yang sah iaitu tidak mempunyai permit import adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728]  dan boleh dihukum dibawah seksyen 11(3), Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.