Mantan ADUN Lahad Datu, Timbalan Menteri, Yusof Jamlee Meninggal Dunia

Yusof Jamlee

LAHAD DATU: Mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Mohd Yusof Amat Jamlee, 76, meninggal dunia di kediaman anaknya di Taman Aman Jaya di sini, pukul 1.40 tengah hari Rabu.

Anak perempuannya Saloma Mohd Yusof, 54, yang mengesahkan perkara itu berkata Allahyarham mengalami sakit strok dan telah dimasukkan ke Hospital KPJ di Kota Kinabalu hampir dua bulan.

“Ayah sudah lama sakit…selepas dua bulan dimasukkan ke hospital, kami bawa ayah balik ke rumah kira-kira 10 bulan lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham yang memenangi kerusi DUN Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum 1994 itu meninggalkan empat balu dan 18 orang anak. Beliau pernah dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan luar Bandar.

Difahamkan, solat jenazah akan diadakan di Masjid Tuan Guru Hj Muda Khamis sebelum jenazah dikebumikan kira-kira 10 pagi di tanah perkuburan Islam, Kampung Bikang di sini.