Mangsa Terjejas Banjir Di DUN Lamag Terima Bantuan Makanan

KINABATANGAN: Sejumlah 300 bantuan bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terjejas banjir di kawasan DUN Lamag.

BUNG MOKTAR

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penyaluran segera bantuan bakul makananan itu diharap dapat membantu meringankan bebanan rakyat yang terjejas banjir.

Beliau berkata, agihan sumbangan itu diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lamag, Abu Bakar Gapar.

Abu Bakar berkata, pihaknya menerima arahan daripada Menteri Kerja Raya itu untuk segera menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk yang terlibat.

“ Oleh kerana kita perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bung tidak dapat turun padang untuk melawat kawasan pada masa ini.

“Bagaimanapun dengan kerjasama dari semua pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menyelaras serta mengagih-agihkan bantuan ini dengan segera,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga aduan berhubung parit-parit yang tersumbat di beberapa buah kampung di kawasan ini dan tindakan susulan akan diambil.

Sebelum itu, Abu Bakar melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superitendan Dzulbaharin Ismail di Ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

Abu Bakar sempat membincangkan isu-isu semasa terutamanya persediaan dari segi aspek keselamatan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar di daerah ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini.