Mangsa Sikap Tidak Demokrasi; Isu Orang Asal Perlu Pembelaan – Adrian

Gambar hiasan. Protes ini berlaku baru baru di Nabawan. – Gambar oleh Nordin @ Bigor & Atama

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
KOTA KINABALU: Laporan polis dan intimidasi oleh pihak berkuasa terhadap Raymond Ahuar, Ketua Pemuda PKR Sabah, adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan satu penafian kebebasan bersuara.

RAYMOND AHUAR

Pada tanggal 14 Ogos lalu, satu laporan polis telah dibuat keatas Raymond, yang dikatakan telah merancang untuk mengadakan satu demontrasi bertujuan untuk menghasut serta menjatuh maruah Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri.

Adrian Lasimbang, penyelaras DAP Pensiangan, yang menganggap tindakan Raymond hanyalah ingin menterjemahkan keluhan serta harapan masyarakat orang asal yang mahukan hak tanah mereka dikembalikan sekaligus memohon pada orang nombor satu negara agar mencari jalan membantu orang asal keluar dari kelompok penindasan.

“Memorandum yang ingin disampaikan oleh Raymond kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri, cuma sekeping surat yang menyatakan kesengsaraan dan keluhan rakyat terhadap isu perampasan hak tanah adat yang dianggap sebagai satu perbuatan yang menindas dan memperlekehkan adat orang asal,” katanya dalam satu kenyataan.

ADRIAN LASIMBANG

Menurut Adrian, laporan polis yang dibuat keatas Raymond kerana beliau didakwa cuba untuk merancang dan menganjurkan satu penyerahan memorandum berkenaan isu tanah adat di Pensiangan kepada Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri yang akan hadir di Nabawan untuk merasmikan Klinik Kesihatan didaerah itu pada Sabtu (20 Ogos) nanti.

Menurut Adrian, perkara ini membuktikan bahawa kerajaan dibawah parti Barisan Nasional cuba sedaya upaya untuk menafikan hak bersuara dan mencabuli amalan demokrasi di negara ini, dengan memperkecilkan isu tanah adat di negeri ini.

“Permasalahan ini telah pun berlaku sekian lama tanpa sebarang pembelaan dari pihak kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri yang seolah-olah tidak nampak dan tidak tahu apa yang terjadi walaupun orang Asal sudah berkali kali menyuarakan penindasan di perbagai peringkat,” tegas Adrian yang juga Pengarah pendidikan Politik DAP Sabah.

Katanya, isu perampasan tanah adat di kawasan Pensiangan khasnya sudah sampai ke tahap yang paling kritikal dan sangat parah, dengan pemberian kelulusan ribuan hektar tanah kepada syarikat-syarikat berkepentingan serta pengezetan hutan simpan kelas satu dan pengeluaran geran komunal yang tidak melalui proses perundingan yang telus dengan komuniti.

“Kita mau supaya hak tanah adat orang asal yang dijamin dalam perlembagaan Malaysia seperti yang terpahat di atas Batu Sumpah dan kita mahu mengingatkan komitmen kerajaan Malaysia seperti apa yang terkandung dalam UNDRIP iaitu deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dimana Kerajaan Malaysia telah berjanji untuk memberi komitmen sepenuhnya, dalam melindungi hak orang asal,” kata Adrian yang pernah memegang jawatan Presiden JOAS suatu ketika dulu.