Mangsa Runtuhan Tanah Meninggal Dunia Di Tuaran

TUARAN: Seorang pekerja tapak pembinaan maut apabila tertimbus runtuhan tanah ketika sedang melakukan kerja-kerja pengambilan tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, petang tadi.

Mangsa, Sukirman Rappe, 43, yang merupakan warga asing itu meninggal dunia dilokasi kejadian.

Mangsa difahamkan tersepit dicelah runtuhan tanah semasa sedang menjalankan kerja-kerja pengambilan tanah dengan menggunakan jengkaut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima laporan mengenai insiden ini pada 4.09 petang tadi sebelum menghantar sebuah jentera FRT dan jentera EMRS bergegas ke lokasi kejadian dengan lapan pegawai dan anggota.

Setibanya dilokasi kejadian, pasukan bomba bertindak mengeluarkan  mangsa yang tersepit dicelah runtuhan tanah. Mangsa berjaya dikeluarkan pada 5.12 petang dan disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan susulan.